ASSALAMUALAIKUM
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
BERMUNAJAT KEPADA ALLAH
SATU daripada cara paling berkesan untuk berhubung dengan Allah s.w.t
ialah dengan bangun daripada tidur mengerjakan ibadat, khususnya
sembahyang tahajud atau sembahyang di tengah malam.
Tetapi satu persoalan boleh ditimbulkan ialah mengapa Allah meletakkan
masa untuk sembahyang tahajud pada tengah malam ketika suasana sunyi
penuh kesejukan?
Jawapannya kerana Allah mahu menguji sejauh mana taatnya seseorang
hamba yang mengaku dirinya bertuhankan Allah.
Sesungguhnya bukan perkara mudah untuk bangun daripada tidur nyenyak
waktu dinihari sedang orang lain asyik dibuai mimpi. Juga bukan perkara
mudah untuk berwuduk dalam suasana dingin malam yang mencengkam atau
untuk mengangkat takbir menghadap Allah dalam keadaan mata masih
terkebil-kebil.
Dengan kata lain, amalan bertahajud adalah perbuatan amat berat untuk
dikerjakan seseorang. Keadaan tubuh letih dan lesu kerana bekerja kuat
pada siang hari menyebabkan sesetengah orang tidur seperti mati. Ia amat
susah untuk disedarkan walaupun puas dikejutkan.
Mata akan menjadi bertambah mengantuk dan tubuh bertambah penat
apabila tidur lewat malam kerana asyik menonton televisyen atau kerja
tambahan lain.
Keadaan sejuk dan suasana sunyi di tengah malam juga menjadi faktor
membuatkan seseorang nyenyak tidur dan berasa keberatan untuk
berhubungan dengan Allah pada waktu berkenaan.
Iman yang kurang kental akan membuat seseorang yang tidur nyenyak
menarik selimut dengan lebih kemas dan rapi lagi. Sesungguhnya ketika
itu masa paling sedap untuk tidur.
Namun, di atas segala kesukaran inilah tersembunyi rahsia Allah yang
hanya sedikit sekali diketahui hamba-Nya.
Sekalipun sembahyang tahajud hanya sunat, tetapi kelebihannya amat
besar di sisi Allah dan tinggi nilainya. Firman Allah bermaksud:
" Dan daripada malam, hendaklah engkau bertahajud (tinggalkan tidur
untuk sembahyang) semoga Tuhanmu mengangkat kamu pada kedudukan yang
terpuji " (Surah Al-Israk: Ayat 79)
Ayat itu menjelaskan betapa pentingnya sembahyang tahajud. Ia satu
peluang keemasan ditawarkan Allah kepada manusia untuk mengukuhkan
hubungan mereka dengan Penciptanya.
Sesungguhnya segala kesusahan dan kepayahan berkenaan hanya dirasai
mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, namun bagi yang sudah
biasa, ia menjadi satu kenikmatan pula.
Bagi yang dapat menghayatinya, mereka akan terasa kerugian besar jika
meninggalkan sembahyang tahajud.
Di waktu inilah, iaitu sepertiga malam, pintu langit terbuka luas
untuk menerima taubat hamba Allah dan Malaikat akan membawa kendi emas
untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia
menanti mahu membakar tubuh manusia di akhirat nanti.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: " Allah sayang kepada lelaki yang
bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan akan membangunkan
isterinya dan kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Dan
Allah sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan
sembahyang dan membangunkan suaminya dan jika suaminya enggan,
dipercikkan air ke wajahnya " (Hadis riwayat Abu Daud)
Sesungguhnya untuk mendapatkan kasih daripada Allah bukan perkara
mudah. Allah mengasihi orang beriman dengan melaksanakan suruhan-Nya dan
meninggalkan apa yang dilarang. Sembahyang tahajud satu suruhan Allah
dan oleh itu, Allah menyayangi mereka yang mengerjakannya.
Namun, bagi manusia yang benar-benar yakin dan patuh kepada Allah
tidak akan keberatan untuk bangun bertahajud di tengah malam.
Sebaliknya, orang yang lemah iman berasa berat untuk menolak
selimutnya walaupun berat selimutnya tidak pun sampai setengah kilogram.
Sembahyang tahajud sesungguhnya satu daripada sembahyang sunat yang
mempunyai nilai dan kedudukan tinggi berbanding sembahyang sunat lain.
Sembahyang ini adalah amalan orang yang soleh yang sentiasa mahu
mendekatkan diri kepada Allah.
Amalan sembahyang tahajud bukan hanya diamalkan Nabi Muhammad dan
umatnya, malah ia diamalkan umat nabi sebelumnya.
Ini bererti perintah tahajud tidak dikhususkan kepada umat Nabi
Muhammad saja.
Sayidinna Umar Al Khattab menyatakan mengenai fadilat sembahyang malam
dengan berkata: " Sesiapa mengerjakan sembahyang malam (tahajud)
dengan khusyuk, nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di
dunia dan empat di akhirat. Kurniaan di dunia ialah:
1. Jauh daripada segala penyakit.
2. Lahir kesan takwa pada wajahnya.
3. Dikasihi sekalian mukmin dan seluruh manusia.
4. Percakapannya mengandungi hikmat.
5. Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan
diberkati).
Sementara empat perkara di akhirat ialah:
1. Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri
2. Dipermudahkan hisab
3. Cepat melalui Sirat al Mustaqim, bagaikan kilat.
4. Diserahkan catatan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.
Walaupun manusia sedar mengenai betapa tingginya nilai dan kedudukan
sembahyang tahajud, namun sedikit sekali umat manusia mengaku dirinya
beragama Islam yang sanggup dan bersedia melakukan sembahyang itu.
Bagi mereka, tidur lebih nikmat dan lebih utama daripada
bersembahyang. Sesungguhnya, manusia akan berlumba-lumba bersembahyang
tahajud sekiranya mereka dapat merasakan betapa nikmatnya melakukan
amalan itu.
Keheningan dan kedinginan malam pula seolah-olah memberi kesempatan
kepada seseorang untuk merapatkan lagi hubungan antara makhluk dan
Khaliq. Apa yang dibaca seseorang ketika bersembahyang tahajud
seolah-olah didengar dan mendapat layanan daripada Allah Yang Maha
Berkuasa. Orang yang khusyuk dalam sembahyang akan merasai hubungannya
dengan Allah adalah sangat hampir.
Biasanya, permohonan seseorang untuk mendapat sesuatu itu cepat
mendapat layanan apabila tidak ramai orang yang memohonnya. Oleh itu,
mohonlah keampunan dan limpahan rahmat Allah ketika orang lain sedang
tidur nyenyak.
Berhubunglah dengan Allah ketika peluang masih ada, umur masih muda,
tenaga masih kuat dan pintu taubat masih terbuka. Insya-Allah kita akan
mendapat limpahan rahmat dan nikmat daripada Allah.
Sebaik-baik waktu dan masa untuk berhubung dengan Allah ialah
pada waktu malam.
RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL
MAY ALLAH BLESS SSM AND ALL OF US